Lubang Paku

Seorang ayah menasihati anaknya yang suka marah-marah.
Pada suatu hari, anaknya itu diajak pergi ke kandang kuda milik keluarga yang terletak berhampiran rumah.
Setibanya di tepi kandang kuda, si ayah berkata kepada anaknya, "Anakku, jika kamu marah, ketuklah sebatang paku ke dalam pagar ini. Semakin kamu marah, ketuklah sekuat hatimu. Buatlah begitu."
Semenjak saat itu, apabila si anak berasa marah pada sesiapa pun, dia mengetuk sebatang paku pada kandang kudanya.
Mudah baginya melakukan perkara itu.

Sebulan kemudian, si anak menunjukkan kepada bapanya dengan rasa bangga paku-paku yang sudah ditanamkannya ke dalam pagar kandang yang kini sudah banyak.
Ayahnya berkata, "Sekarang, sekiranya kamu dapat menahan rasa marah itu dan tidak jadi marah serta dapat memohon maaf daripada orang lain, cabut paku-paku itu satu persatu. Buatlah begitu seterusnya.
Si anak terus bersetuju tanpa tahu apakah tujuan sebenar si ayah menyuruhnya berbuat demikian.

Sebulan kemudian, si ayah bertanya, "Adakah paku sudah dicabut?"
Dengan tegas, si anak menjawab, "Ada, saya sudah cabut kesemuanya!"
Ayahnya segera mahu melihat hasil kerja si anak lantas menuju ke pagar kandang kudanya.
Setibanya di sana, si ayah berkata, "Memang semua paku sudah dicabut, namun ada bekas lubang yang jelas kelihatan. Ini bererti semasa kita memarahi seseorang, ia meninggalkan luka yang dalam pada diri orang yang dimarahi itu. Walaupun kemudiannya kita memohon maaf, hal itu tetap meninggalkan parut."

No comments:

Post a Comment